RSS

Khilaf bukan Perpecahan

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya, CEO iLMU.

Kita perlu bezakan antara perselisihan dan perpecahan. Tidak semua perselisihan pendapat (khilaf) membawa kepada perpecahan. Ada sebahagian orang menjadikan khilaf sebagai titik permulaan dan punca untuk membawa kepada perpecahan.

Saya pasti tidak ada manusia bersetuju kepada perpecahan kerana membawa kepada kelemahan sebagaimana ALLAH TAALA sebut dalam surah Mukminun ayat 53,

“..Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan.

Tiap-tiap golongan berasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).” Dan surah al-Anfal ayat 46

“..Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu..”

Apa yang kita perlu lakukan sekarang untuk menghindari perpecahan adalah dengan memahami hakikat khilaf dan perpecahan, dengan membuat satu garis panduan yang mampu membezakan kedua bentuk tersebut. Namun, apabila kita gagal membezakannya maka ia akan mengundang bahana kepada kita. Setiap perpecahan membawa kepada perselisihan dan bukan setiap perselisihan membawa kepada perpecahan. Fahami dulu kenyataan ini.

Sabda baginda Nabi SAW dalam hadis Riwayat Imam Muslim,

“Sesungguhnya Syaitan tidak lagi mampu mengajak masyarakat Arab untuk menyembahnya, namun syaitan menyeru mereka kepada perpecahan di antara mereka.”

Caci-mencaci, kafir-mengkafirkan, melabel, mencari kesalahan orang lain dan banyak lagi amalan disukai oleh syaitan telah menyusup ke dalam dada masyarakat yang berselisih. Sebenarnya natijah semua ini berpunca daripada kekurangan adab dalam memahami perselisihan. Hati-hati dengan permainan syaitan dalam menyesatkan manusia. Tanda-tanda permulaan perpecahan adalah dengan kebencian dan kemuncaknya adalah pertumpahan darah.

Agama Islam diturunkan oleh ALLAH dengan lengkap dan jelas menerangkan aturan serta adab dalam menguruskan perselisihan. Perselisihan dapat dibahagi kepada dua, perselisihan dipuji dan yang dicela. Perselisihan telah berlaku sejak zaman Nabi SAW. Contohnya, para sahabat berselisih memahami perintah Nabi jangan solat Asar sebelum sampai di tempat Bani Quraizhah.

Perselisihan begini dikira terpuji kerana masih berlandaskan kepada dalil al-Quran dan as-sunnah kerana pihak masing-masing memberi dalil mereka dan Nabi menyetujuinya. Sedangkan perselisihan yang dicela adalah pendapat atau pegangan menyelisihi al-Haq (kebenaran), al-Quran mahupun as-Sunnah yang didasari oleh hawa nafsu dan taklid buta.

Contohnya kelompok Khawarij yang menyelisihi Nabi SAW dalam pembahagian harta dan tiga lelaki meninggalkan sunnah Nabi, lalu memilih pandangan mereka untuk beramal sehinggakan Nabi menegur mereka.

Imam at-Tirmidzi telah merekodkan satu wasiat Nabi SAW. Satu wasiat yang sangat penting kepada umat Islam sebelum pemergian Nabi SAW. Ketika suatu pagi setelah selesai solat Subuh, Nabi SAW memberikan ucapan yang membuatkan para sahabat berlinangan air mata dan seolah-olah Nabi SAW ingin pergi jauh.

Lalu mereka meminta wasiat kepada Nabi dan beliau menyatakan,

“..Barang siapa yang hidup setelahku, maka dia akan melihat perselisihan yang sangat banyak. Maka wajib bagi kamu untuk berpegang kepada sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang terbimbing. Gigitlah ia dengan gigi geraham kalian…”

Wasiat ini mengandungi mesej betapa pentingnya kita memelihara kesatuan dan menghindari perpecahan. Walaupun perselisihan tidak mungkin sama sekali akan terhapus di atas muka bumi ini, namun ada jalan keluarnya, iaitu kembali kepada sunnah Nabi sebagaimana yang terkandung dalam wasiat tersebut.

Beginilah Rasulullah mendidik umatnya. Supaya apa sahaja perselisihan yang timbul, neraca timbangannya adalah al-Quran dan as-sunnah. Satu fenomena yang menghairankan apabila terjadi khilaf pada hari ini, ada pihak yang cenderung untuk mengutarakan pendapat tokoh yang disanjungnya melebihi pernyataan dari al-Quran dan as-sunnah.

Kalamullah dan sabda Baginda ditolak dengan beberapa rangkap ayat “ustaz ini kata..”, “Syaikh itu kata…”. Sudah tentu ini jelas menyelisihi wasiat Nabi SAW. Kita doakan supaya mereka beroleh taufiq hidayah daripada ALLAH. Wallahualam.

 

Leave a comment